Tuesday, November 18, 2008

PENGALAMAN

PENGALAMAN MENJALANKAN KERJA LAPANGAN DI SUBANG JAYA

Pada 17 Oktober 2008 iaitu bersamaan dengan hari Jumaat, saya Nor Atikah Binti Mohd Suhaimi juga dua orang rakan saya telah menjalankan kerja lapangan yang telah diarahkan oleh Prof. Madya Dr. Hamzah Jusoh. Kerja lapangan yang dilakukan adalah di Subang Jaya Selangor. Kerja lapangan yang dijalankan adalah berkaitan dengan keefisyenan bandar. Sepanjang perjalanan ke Subang Jaya, kami tidak menghadapi sebarang masalah untuk ke sana dengan menaiki komuter tetapi sebaik sahaja kami sampai di Subang Jaya, masalah pertama muncul ialah pengangkutan untuk ke Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ). Cadangan kami yang pertama ialah menaiki teksi untuk ke sana, namun nasib menyebelahi kami kerana bas untuk ke Majlis Perbandaran Subang Jaya sedang menunggu penumpang di sebelah teksi yang kami ingin naiki. Sebaik sahaja bertanyakan pemandu bas mini lokasi MPSJ, kami terus menaiki bas tersebut dengan bayaran sebanyak 70 sen.

Masalah yang pertama timbul apabila bas yang dinaiki agak uzur dengan membawa penumpang yang ramai. Bayangkanlah dengan jumlah penumpang yang ramai di mana ada yang duduk juga berdiri dengan keadaan bas yang uzur. Dalam perjalanan saya terfikir bagaimana sesebuah bandar itu dikatakan efisien sekiranya masalah yang kecil seperti ini tidak dapat dibendung. Kita bayangkan sahaja jika pelancong luar datang dan menaiki bas tersebut, apakah reaksi mereka terhadap bandar tersebut?. Masalah kedua yang saya lihat ketika menaiki bas tersebut ialah kebanjiran pendatang asing. Ramai pendatang asing tidak melepaskan peluang berebut untuk menaiki bas tersebut. Saya dapat merasakan saya tidak selamat di negara sendiri. Apakah ini yang dikatakan efisyen?.

Sampai di MPSJ, saya serta kawan yang lain membuat temujanji untuk bertemu dengan En. Mohd Rozi untuk menanyakan maklumat perbandaran Subang Jaya. Sebelum menunggu masa temujanji yang telah ditetapkan pada pukul 3 petang, saya dan kawan-kawan ke ‘The Summit’ untuk solat juga makan tengahari. Selepas makan tengahari, saya serta kawan yang lain ke surau di tingkat paling atas ‘The Summit’ tersebut. Sebelum sampai ke surau, masalah ketiga pula muncul iaitu pemandangan yang tidak menyenangkan juga kawasan surau yang agak menyeramkan.

Di luar kawasan surau sahaja sudah menampakkan ketidakprihatinan pihak terlibat dalam menguruskan keefisyenan ‘The Summit’. Kemudahan di dalam surau tidak memuaskan kerana kipas dan juga penghawa dingin rosak juga keadaan surau tidak teratur. Saya berharap suatu hari nanti keadaan surau di ‘The Summit’ berubah agar semua orang yang hendak menggunakan surau berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan.

Selepas beberapa jam berada di ‘The Summit’ mencari responden yang terlibat, kami bergerak ke MPSJ kerana telahpun membuat temujanji yang ditetapkan. Kami pergi ke sana dengan menaiki teksi. Sampai sahaja di MPSJ, kami dilayan begitu baik dengan kakitangan-kakitangan bahagian perancang bandar. Bukan sahaja Encik Mohd Rozi memberikan kerjasama, malahan kakitangan yang lain juga bekerjasama memberikan maklumat. Saya amat berterima kasih kepada penolong pengarah bahagian yang terlibat iaitu Cik Marlina kerana banyak memberikan maklumat kepada kami dalam menjayakan kerja lapangan kami.

Selesai mendapatkan maklumat di MPSJ, kami bergegas pula ke ‘Sunway Pyramid’ untuk menyambung tugas kami mencari responden. Masalah yang seterusnya timbul iaitu tiada pengangkutan untuk ke sana. Kami terus mencadangkan untuk menaiki teksi namun teksi yang diharapkan tidak juga muncul. Selama satu jam kami menunggu teksi untuk ke ‘Sunway Pyramid’ barulah ada kelibat teksi yang muncul. Sebaik sahaja kami sampai ke ‘Sunway Pyramid’, kami terus mencari responden yang lain kerana kami mempunyai lagi satu destinasi untuk dituju.

Kami bergegas pula ke ‘IOI Mall’ untuk menghabiskan borang soal selidik kami. Walaupun waktu sudahpun gelap, namun kami tidak berputus asa dalam menyelesaikan tugas kami. Kami amat berbesar hati kerana kebanyakan responden memberikan impak yang positif kepada kami. Tidak kurang juga ada segelintir responden yang tidak memberikan kerjasama kepada kami kerana mereka menganggap kami membuat jualan langsung. Pengalaman yang kami perolehi sangat bermakna kerana ia mendedahkan kami kepada cabaran dalam menyoal selidik responden juga tabah menghadapi sebarang ujian.

No comments: