Saturday, November 1, 2008

JADUAL PERJALANAN KERJA LAPANGAN

17 OKTOBER 2008 (JUMAAT)

9.00 PAGI

Kami bertiga menunggu bas untuk ke komuter UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) Bangi untuk memulakan kerja lapangan kami di Subang Jaya. Destinasi kami yang pertama ialah ke Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sebelum memulakan aktiviti mencari responden untuk disoal selidik.

10.30 PAGI

Komuter memulakan perjalanannya dan mengambil masa selama satu jam untuk sampai ke Subang Jaya. Sebelum sampai ke Subang Jaya, kami berhenti dahulu di Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) untuk menukar laluan ke Subang Jaya.

12.00 TENGAHARI

Kami sampai ke Subang Jaya dan untuk pergi ke Majlis Perbandaran Subang Jaya kami perlu menaiki bas lompat untuk ke sana. Cuaca yang panas tidak menghalang kami terus menyelesaikan tugas yang telah diberikan.

12.45 TENGAHARI

Kami sampai ke Majlis Perbandaran Subang Jaya dan terus memasuki tingkat tiga untuk membuat temujanji dengan Encik Mohd Rozi. Disebabkan kami sampai pada waktu tengahari, kami tidak dapat bertemu untuk menemubualnya kerana pada waktu ini adalah waktu rehat pejabat. Kami membuat temujanji yang seterusnya pada pukul tiga petang.

1.30 PETANG

Kami terus pergi ke ‘The Summit’ sementara menunggu temujanji pada pukul tiga petang. Kami memulakan aktiviti menemubual responden di ‘The Summit’ dan setiap orang dihadkan dengan 5 borang soal selidik kerana 10 borang soal selidik akan disimpan untuk menemubual responden di ‘Sunway Pyramid’ dan ‘IOI Mall’ di Puchong. Setelah berjaya menyoal selidik 5 orang responden, kami bergerak ke MPSJ.

3.00 PETANG

Kami sampai ke MPSJ untuk menemubual Encik Mohd Rozi tetapi pada masa itu penolong pengarah bahagian perancang bandar iaitu Cik Marlina sudi ditemubual oleh kami bertiga. Kami bertanyakan soalan yang berkaitan dengan pembangunan Subang Jaya juga perkara yang berkaitan dengan MPSJ. Banyak maklumat yang kami perolehi daripada MPSJ.

5.00 PETANG

Kami mula bergerak ke ‘Sunway Pyramid’ untuk menyambung tugas menyoal selidik responden. Seramai 5 orang responden diperlukan di ‘Sunway Pyramid’ dan kuotanya ialah 2 orang Melayu, 2 orang Cina dan seorang India. Kuota kaum diperlukan untuk soal selidik ini kerana peratusannya akan dikira mengikut nisbah keseluruhan penduduk di Subang Jaya .

8.00 MALAM

Setelah selesai kerja di ‘Sunway Pyramid’, kami bergerak ke ‘IOI Mall’ untuk mencari lagi 15 orang responden iaitu 5 responden untuk setiap orang. Kami bekerja keras untuk menyiapkan kesemua borang soal selidik kerana masa yang kami tetapkan adalah sehari sahaja

10.00 MALAM

Kami selesai menyiapkan kesemua borang soal selidik kami dan tiba masanya untuk kami pulang kerana masa sangat mencemburui kami tambahan pula kami perlu bergegas untuk mengejar komuter yang akan berakhir pada pukul 12.00 malam.

No comments: