Tuesday, November 18, 2008

PENDAHULUAN

Berdasarkan Akta 171, termaktubnya fungsi-fungsi Majlis Bandaraya dan Majlis Daerah di mana antara fungsi-fungsinya ialah perlindungan, memberi kemudahan kepada penduduk, kebajikan, perdagangan dan sebagainya. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menjadi orang tengah dalam sesuatu kawasan di mana kuasanya khusus kepada kuasa tempatan. Dalam meningkatkan keefisienan PBT, kerajaan telah menjalankan sistem bintang iaitu bertujuan memantau sistem PBT, menggredkan PBT dua tahun sekali di mana berdasarkan peratus dan penilaian dibuat berdasarkan markah. Markah yang rendah akan menunjukkan prestasi yang tidak bagus manakala markah yang tinggi adalah prestasi yang bagus. Keefisienan bandar bergantung kepada PBT dalam meningkatkan lagi taraf sesebuah bandar. Oleh yang demikian, PBT amat berkait rapat dengan keefisienan bandar. Keefisienan bandar secara kesimpulannya adalah kelengkapan yang ada pada bandar tersebut termasuk dari segala aspek iaitu ekonomi bandar, kemudahan masyarakat, utiliti dan sosial, infrastruktur dan utiliti, rekabentuk, imej dan lanskap bandar, pengangkutan dan perhubungan, perdagangan, perkilangan dan perindustrian, pelancongan dan budaya, perumahan, keselamatan dan kawalan dan sebagainya.

Kemudahan-kemudahan inilah yang akan menyebabkan penduduk berpuas hati sekaligus meningkatkan pembangunan keefisienan bandar tersebut. Oleh itu, dalam mengkaji sejauh mana keefisienan sesebuah bandar iaitu bandar utama, saya NOR ATIKAH BINTI MOHD SUHAIMI (A112447) telah menjalankan kajian untuk kursus SKAD2063 : Urbanisasi dan Pembangunan Bandar yang bertajuk ‘Perspektif Awam Terhadap Tahap Keefisienan Bandar Di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan. Kajian yang dijalankan adalah di Subang Jaya iaitu salah sebuah bandar di Lembah Klang. Sebanyak 45 orang responden diperlukan bagi setiap kumpulan dan seorang perlu menemuramah 15 orang responden. Borang soal selidik yang diberikan mempunyai lima bahagian iaitu bahagian A, bahagian B, bahagian C dan bahagian D dan E. Bahagian A adalah latar belakang responden. Bahagian B adalah soalan yang perlu ditanda oleh responden iaitu berkaitan dengan ekonomi bandar, kemudahan masyarakat, utiliti dan sosial, infrastruktur dan utiliti, rekabentuk, imej dan lanskap bandar, pengangkutan dan perhubungan, perdagangan / perkhidmatan, perkilangan dan perindustrian, pelancongan dan budaya, perumahan, keselamatan dan kawalan, governans, alam sekitar dan perkhidmatan secara online/e-governans. Bahagian C pula berkaitan dengan ranking tahap keefisienan bandar mengikut kawasan Pihak Berkuasa Tempatan juga persepsi responden terhadap keefisienan bandar Kuala Lumpur secara umum. Bahagian D pula ialah soalan berkaitan pengalaman berdepan dengan ketidak-efisienan bandar sepanjang 5 tahun lepas dan juga bahagian E ialah bahagian pandangan umum penduduk tentang keefisienan bandar dan ulasan keseluruhan keefisienan bandar.

TUJUAN KAJIAN

Tujuan kajian ialah untuk :

1) Mengkaji tahap keefisienan bandaraya utama semenanjung Malaysia.

2) Menganalisis perspektif awam terhadap keefisienan bandar

LOKASI KAJIAN

Kajian yang dijalankan adalah di kawasan Subang Jaya. Antara kawasan-kawasan yang terlibat ialah Majlis Perbandaran Subang Jaya, ‘Sunway Pyramid’, ‘The Summit’ dan ‘IOI Mall’.

KAEDAH KAJIAN

Kajian yang dilakukan adalah kajian lapangan di mana pengkaji turun di tempat yang telah ditetapkan untuk mendapatkan responden. Kajian ini dilakukan di Subang Jaya dan seramai 45 orang responden diperlukan dalam kajian ini. Borang soal selidik digunakan dalam kajian ini.

RESPONDEN KAJIAN

Responden kajian adalah seramai 45 orang dan kaum yang diperlukan ialah kaum Melayu, Cina dan India. Seorang perlu menemuramah 15 orang responden dan 5 orang untuk setiap tempat iaitu di ‘Sunway Pyramid’, ‘The Summit’ dan ‘IOI Mall’. Nisbah untuk setiap tempat ialah 2 orang Melayu, 2 orang Cina dan seorang India.

PENGALAMAN

PENGALAMAN MENJALANKAN KERJA LAPANGAN DI SUBANG JAYA

Pada 17 Oktober 2008 iaitu bersamaan dengan hari Jumaat, saya Nor Atikah Binti Mohd Suhaimi juga dua orang rakan saya telah menjalankan kerja lapangan yang telah diarahkan oleh Prof. Madya Dr. Hamzah Jusoh. Kerja lapangan yang dilakukan adalah di Subang Jaya Selangor. Kerja lapangan yang dijalankan adalah berkaitan dengan keefisyenan bandar. Sepanjang perjalanan ke Subang Jaya, kami tidak menghadapi sebarang masalah untuk ke sana dengan menaiki komuter tetapi sebaik sahaja kami sampai di Subang Jaya, masalah pertama muncul ialah pengangkutan untuk ke Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ). Cadangan kami yang pertama ialah menaiki teksi untuk ke sana, namun nasib menyebelahi kami kerana bas untuk ke Majlis Perbandaran Subang Jaya sedang menunggu penumpang di sebelah teksi yang kami ingin naiki. Sebaik sahaja bertanyakan pemandu bas mini lokasi MPSJ, kami terus menaiki bas tersebut dengan bayaran sebanyak 70 sen.

Masalah yang pertama timbul apabila bas yang dinaiki agak uzur dengan membawa penumpang yang ramai. Bayangkanlah dengan jumlah penumpang yang ramai di mana ada yang duduk juga berdiri dengan keadaan bas yang uzur. Dalam perjalanan saya terfikir bagaimana sesebuah bandar itu dikatakan efisien sekiranya masalah yang kecil seperti ini tidak dapat dibendung. Kita bayangkan sahaja jika pelancong luar datang dan menaiki bas tersebut, apakah reaksi mereka terhadap bandar tersebut?. Masalah kedua yang saya lihat ketika menaiki bas tersebut ialah kebanjiran pendatang asing. Ramai pendatang asing tidak melepaskan peluang berebut untuk menaiki bas tersebut. Saya dapat merasakan saya tidak selamat di negara sendiri. Apakah ini yang dikatakan efisyen?.

Sampai di MPSJ, saya serta kawan yang lain membuat temujanji untuk bertemu dengan En. Mohd Rozi untuk menanyakan maklumat perbandaran Subang Jaya. Sebelum menunggu masa temujanji yang telah ditetapkan pada pukul 3 petang, saya dan kawan-kawan ke ‘The Summit’ untuk solat juga makan tengahari. Selepas makan tengahari, saya serta kawan yang lain ke surau di tingkat paling atas ‘The Summit’ tersebut. Sebelum sampai ke surau, masalah ketiga pula muncul iaitu pemandangan yang tidak menyenangkan juga kawasan surau yang agak menyeramkan.

Di luar kawasan surau sahaja sudah menampakkan ketidakprihatinan pihak terlibat dalam menguruskan keefisyenan ‘The Summit’. Kemudahan di dalam surau tidak memuaskan kerana kipas dan juga penghawa dingin rosak juga keadaan surau tidak teratur. Saya berharap suatu hari nanti keadaan surau di ‘The Summit’ berubah agar semua orang yang hendak menggunakan surau berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan.

Selepas beberapa jam berada di ‘The Summit’ mencari responden yang terlibat, kami bergerak ke MPSJ kerana telahpun membuat temujanji yang ditetapkan. Kami pergi ke sana dengan menaiki teksi. Sampai sahaja di MPSJ, kami dilayan begitu baik dengan kakitangan-kakitangan bahagian perancang bandar. Bukan sahaja Encik Mohd Rozi memberikan kerjasama, malahan kakitangan yang lain juga bekerjasama memberikan maklumat. Saya amat berterima kasih kepada penolong pengarah bahagian yang terlibat iaitu Cik Marlina kerana banyak memberikan maklumat kepada kami dalam menjayakan kerja lapangan kami.

Selesai mendapatkan maklumat di MPSJ, kami bergegas pula ke ‘Sunway Pyramid’ untuk menyambung tugas kami mencari responden. Masalah yang seterusnya timbul iaitu tiada pengangkutan untuk ke sana. Kami terus mencadangkan untuk menaiki teksi namun teksi yang diharapkan tidak juga muncul. Selama satu jam kami menunggu teksi untuk ke ‘Sunway Pyramid’ barulah ada kelibat teksi yang muncul. Sebaik sahaja kami sampai ke ‘Sunway Pyramid’, kami terus mencari responden yang lain kerana kami mempunyai lagi satu destinasi untuk dituju.

Kami bergegas pula ke ‘IOI Mall’ untuk menghabiskan borang soal selidik kami. Walaupun waktu sudahpun gelap, namun kami tidak berputus asa dalam menyelesaikan tugas kami. Kami amat berbesar hati kerana kebanyakan responden memberikan impak yang positif kepada kami. Tidak kurang juga ada segelintir responden yang tidak memberikan kerjasama kepada kami kerana mereka menganggap kami membuat jualan langsung. Pengalaman yang kami perolehi sangat bermakna kerana ia mendedahkan kami kepada cabaran dalam menyoal selidik responden juga tabah menghadapi sebarang ujian.

LAPORAN

LAPORAN MENAIKTARAF MAJLIS PERBANDARAN SUBANG JAYA SEBAGAI BANDARAYA

Kawasan utama dalam pentadbiran sedia ada yang mengalami pembangunan pesat

· Seri Kembangan

· Bandar Putra Permai

· Kinrara

· Puchong

· Subang Jaya / USJ

· Subang Hi-Tech

Kawasan utama yang berpotensi untuk pembangunan

· Pembangunan daerah

- Kawasan Kampung Tradisi

- Kawasan Kampung Baru Sri Kembangan

- Kawasan Persisiran Sungai Klang

· Pembangunan Pelancongan

- Hutan Simpan Ayer Hitam

- Aktiviti perkhemahan, ‘mountain bike’

- Serdang : ‘Agro Tourism’

- Bandar Puchong Jaya : Muzium Perlombongan

- Tasik Seri Aman : rekreasi

- Taman Subang Ria : rekreasi

· Senarai lokasi-lokasi utama

t tarikan pelancongan

a. Taman Tema

- Sunway Lagoon

- Mines Wonderland

b. Pusat membeli-belah

- Sunway Pyramid

- Subang Parade

- IOI Mall

- Mines Shopping Fair

- The Summit

- South City Plaza

c. Taman Rekreasi

- Taman Subang Ria

- Taman Wawasan Pusat Bandar Puchong

- Taman Rekreasi Puchong Perdana

- Taman Tasik Sri Serdang

· Kemudahan hotel dan penginapan

- Sheraton Subang Hotel & Towers, Subang (5 stars business hotel)

- Palace of Golden Horses (5 stars)

- Sunway Resort Hotel & Spa, Sunway (5 stars theme resort)

- The Mines Beach Resort & Spa (5 stars)

- The Summit USJ Hotel, Subang (4 stars business hotel)

- The Saujana, Subang (5 stars golf resort)

- Pyramid Tower Hotel, Sunway (4 stars business hotel)

- Holiday Villa Hotel & Suites, Subang (5 stars)

· Jumlah penduduk dari tahun 2000-2010

- 531,400 orang

· Peratus penduduk bandar dan pinggir bandar dalam kawasan masing-masing

- Penduduk bandar – 18.77%

- Penduduk pinggir bandar – 3.91%

Sunday, November 2, 2008

Majlis Perbandaran Subang Jaya



Bangunan Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Subang Jaya, USJ 5, Persiaran Perpaduan, Subang Jaya


Subang Jaya di waktu malam
Hotel 'The Summit'
'Sunway Pyramid'

Saturday, November 1, 2008

JADUAL PERJALANAN KERJA LAPANGAN

17 OKTOBER 2008 (JUMAAT)

9.00 PAGI

Kami bertiga menunggu bas untuk ke komuter UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) Bangi untuk memulakan kerja lapangan kami di Subang Jaya. Destinasi kami yang pertama ialah ke Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sebelum memulakan aktiviti mencari responden untuk disoal selidik.

10.30 PAGI

Komuter memulakan perjalanannya dan mengambil masa selama satu jam untuk sampai ke Subang Jaya. Sebelum sampai ke Subang Jaya, kami berhenti dahulu di Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) untuk menukar laluan ke Subang Jaya.

12.00 TENGAHARI

Kami sampai ke Subang Jaya dan untuk pergi ke Majlis Perbandaran Subang Jaya kami perlu menaiki bas lompat untuk ke sana. Cuaca yang panas tidak menghalang kami terus menyelesaikan tugas yang telah diberikan.

12.45 TENGAHARI

Kami sampai ke Majlis Perbandaran Subang Jaya dan terus memasuki tingkat tiga untuk membuat temujanji dengan Encik Mohd Rozi. Disebabkan kami sampai pada waktu tengahari, kami tidak dapat bertemu untuk menemubualnya kerana pada waktu ini adalah waktu rehat pejabat. Kami membuat temujanji yang seterusnya pada pukul tiga petang.

1.30 PETANG

Kami terus pergi ke ‘The Summit’ sementara menunggu temujanji pada pukul tiga petang. Kami memulakan aktiviti menemubual responden di ‘The Summit’ dan setiap orang dihadkan dengan 5 borang soal selidik kerana 10 borang soal selidik akan disimpan untuk menemubual responden di ‘Sunway Pyramid’ dan ‘IOI Mall’ di Puchong. Setelah berjaya menyoal selidik 5 orang responden, kami bergerak ke MPSJ.

3.00 PETANG

Kami sampai ke MPSJ untuk menemubual Encik Mohd Rozi tetapi pada masa itu penolong pengarah bahagian perancang bandar iaitu Cik Marlina sudi ditemubual oleh kami bertiga. Kami bertanyakan soalan yang berkaitan dengan pembangunan Subang Jaya juga perkara yang berkaitan dengan MPSJ. Banyak maklumat yang kami perolehi daripada MPSJ.

5.00 PETANG

Kami mula bergerak ke ‘Sunway Pyramid’ untuk menyambung tugas menyoal selidik responden. Seramai 5 orang responden diperlukan di ‘Sunway Pyramid’ dan kuotanya ialah 2 orang Melayu, 2 orang Cina dan seorang India. Kuota kaum diperlukan untuk soal selidik ini kerana peratusannya akan dikira mengikut nisbah keseluruhan penduduk di Subang Jaya .

8.00 MALAM

Setelah selesai kerja di ‘Sunway Pyramid’, kami bergerak ke ‘IOI Mall’ untuk mencari lagi 15 orang responden iaitu 5 responden untuk setiap orang. Kami bekerja keras untuk menyiapkan kesemua borang soal selidik kerana masa yang kami tetapkan adalah sehari sahaja

10.00 MALAM

Kami selesai menyiapkan kesemua borang soal selidik kami dan tiba masanya untuk kami pulang kerana masa sangat mencemburui kami tambahan pula kami perlu bergegas untuk mengejar komuter yang akan berakhir pada pukul 12.00 malam.

Subang Jaya

Subang jaya ialah salah satu pusat bandar yang terletak di ‘Klang Valley’ dan nama yang bersinonim dengannya ialah UEP Subang Jaya(USJ) dan juga bandar Sunway. Subang Jaya memiliki tanah seluas 70.0 kilometer persegi dan mempunyai populasi sebanyak sejuta orang. Banyak kemudahan telah disediakan di Subang Jaya dan antaranya ialah hospital, sekolah, kolej, tempat beribadat dan kawasan komersial. Pada tahun 1997, Subang Jaya dinaikkan status menjadi majlis perbandaran. Kuasa tempatan telah ditukarkan daripada Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ). Majlis Perbandaran Subang Jaya memegang kuasa kerajaan bukan sahaja meliputi Subang Jaya malahan meliputi kawasan USJ, Bandar Sunway, Puchong, Kinrara, Seri Kembangan, Balakong, dan kawasan lain di bawah wilayah Petaling.

(FROM WIKIPEDIA)

peta Subang Jaya